Persatuan Penulis Budiman Malaysia atau nama ringkasnya BUDIMAN Malaysia ditubuhkan pada 23 Januari 2010 (Sabtu) dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Penajaan bertempat di Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak. Idea penubuhan ini diilhamkan oleh saudara a.halim ali, seorang penyair dan juga seorang pensyarah kesusasteraan di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa. Mesyuarat jawatankuasa penaja persatuan ini turut dihadiri oleh Dr. Azhar Wahid, Ghazali Din, Mohamad Bukhari Lubis, Hasrina Baharum, Taj Rijal Mohamad Romli, Ariff Mohamad, Mohd Johari Abdul Hamid, Profesor Abdul Hamid Mahmod, Siti Noorisa Abd Jalil dan beberapa orang  lagi individu yang terdiri daripada pensyarah dan pelajar UPSI.

Matlamat utama penubuhan persatuan ini ialah untuk meneruskan usaha membangun, mengembangkan dan memajukan serta memperkasakan persuratan Melayu di negara ini dan di persada antarabangsa menerusi pelbagai kegiatan.

Serentak dengan penubuhannya, satu majlis diskusi karya kreatif telah diadakan iaitu diskusi novel `Kiblat Mawadah` karya Hasrina Baharum dan kumpulan puisi `Nyanyian Alam` oleh Ihsan Norazali. Aktiviti berikutnya turut dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak seperti  Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Bahasa Melayu dan Pejabat Penyandang Kursi Tun Abdul Ghaffar Baba UPSI.

Dalam merealisasikan matlamat penubuhannya, Budiman Malaysia turut menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Universiti Pendidikan Sultan Idris dan juga pelbagai agnsi kerajaan negeri, termasuk pelbagai pihak di luar  negara.

Pada masa kini, Budiman Malaysia diterajui oleh satu jawatankuasa yang dikemudikan oleh Prof. Dr. Abdul Haim Ali (a.halim ali) sebagai Presiden berserta barisan ahli jawatankuasanya.

Keterangan Logo

Logo PERSATUAN PENULIS BUDIMAN MALAYSIA berteraskan falsafah persuratan mendokong kemurnian ilmu dan menyebarluaskannya untuk manfaat manusia sejagat. Hal ini dizahirkan menerusi tiga komponen iaitu:

  1. perkataan BUDIMAN berwarna hitam dengan keterangan nama penuh di bawahnya,
  2. buku berwarna putih di atas nama BUDIMAN, dan
  3. empat kelopak warna hijau muda dan hijau gelap terletak teguh di atas buku dengan kelopak terbuka ke atas sebagai lambang kepelbagaian ilmu dan persuratan yang didokongi persatuan.

Warna hitam pada tulisan BUDIMAN bermaksud kesejahateraan dan ketulusan dalam kegiatan.

Warna putih pada buku (atas perkataan BUDIMAN) bermaksud ilmu persuratan yang benar dan bermanfaat,

warna hijau gelap pada kelopak sebelah kiri bermaksud tahap ilmu dan aktiviti persuratan tinggi;

warna hijau muda pada tiga kelopak tengah dan kanan bermaksud tahap ilmu dan aktiviti persuratan yang pelbagai.